Majlis Halal Bihalal Alumni Indonesia 2014

Majlis Halal Bihalal Alumni Indonesia 2014
Semua dijemput hadir

07 October 2012

Malaysia-Indonesia tidak wajar biarkan sentimen ekstrem jejaskan hubungan dua hala, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya membiarkan sentimen ekstrem menguasai keadaan berikutan wujudnya isu-isu sensasi sehingga menjejaskan hubungan dua hala kedua buah negara.

Sebaliknya, Muhyiddin mahukan hubungan Malaysia dan Indonesia dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana banyak bidang kerjasama yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara untuk mewujudkan kemakmuran bersama.

Beliau berkata sinergi antara kedua-dua negara yang telah sedia wujud lebih 55 tahun dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan hubungan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.

"Seringkali Malaysia dijadikan “punching bag” oleh pihak-pihak tertentu terutama apabila wujudnya isu-isu sensasi yang disiarkan di media massa. Isu tersebut seringkali digembar-gemburkan tanpa terlebih dahulu membuat sebarang usul periksa mengenai fakta sebenar.

"Malah isu-isu ini dijadikan sumber oleh pihak-pihak tertentu untuk memperlekehkan dasar kerajaan dan akibatnya menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara,” katanya pada Kolokium ke-5 Hubungan Strategik Dua Hala Malaysia-Indonesia di sini, hari ini.

Katanya tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu dari kedua-dua negara sedikit sebanyak mewujudkan persepsi yang kurang baik dalam hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.

Justeru,beliau berkata kerajaan kedua-dua negara bertekad akan terus menangani dan mengatasi sebarang cabaran yang timbul, di samping berusaha memperkukuh persefahaman dan hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara.

"Cabaran-cabaran yang sedia ada seperti isu pembatasan sempadan maritim dan sempadan darat adalah sesuatu yang amat kompleks di mana penyelesaian muktamad memerlukan masa.

"Bagaimanapun, usaha-usaha mencari persetujuan bersama dalam isu ini menunjukkan bahawa Malaysia dan Indonesia mampu berunding dan mencari penyelesaian bersama.

"Malangnya isu ini dan juga isu-isu lain seperti tenaga kerja sering dieksplotasi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu,” katanya.

Menurutnya selain kedudukan geografi, persamaan warisan budaya dan hubungan persaudaran, Malaysia dan Indonesia juga mempunyai pertalian dan hubungkait dalam banyak aspek yang mana perlu dimanfaatkan untuk kepentingan bersama. Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk kerajaan, parti politik, ahli akedemik, pihak swasta, organisasi bukan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat serta media massa memainkan peranan memperkukuh hubungan itu.

"Pada hakikatnya hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak dapat dipisahkan. Malah hubungan ini kian bertambah kukuh dan berada pada tahap yang membanggakan.

"Pelbagai faktor menunjukkan bahawa kedua-dua negara sememangnya saling memerlukan antara satu sama lain. Kita bersyukur kerana kerjasama antara Malaysia dan Indonesia sangat aktif dan terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Jelasnya pemimpin tertinggi kedua-dua negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sentiasa menunjukkan komitmen ikhlas dalam memperkukuh lagi hubungan dua hala, selain kunjungan beliau sendiri ke negara jiran itu beberapa kali merupakan inisiatif penting dalam mengeratkan lagi hubungan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua negara juga mempunyai pelbagai mekanisme dan platform di peringkat kerajaan untuk memperluas dan meningkatkan skop kerjasama yang saling menguntungkan.

"Mekanisme ini meliputi rundingan tahunan antara pemimpin dan pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja di peringkat menteri dan pegawai kanan kedua-dua negara.

"Malaysia berharap agar kedua-dua negara menggunakan sepenuhnya kesemua mekanisme dua hala ini serta saluran-saluran lain bagi menangani sebarang isu berbangkit secara konstruktif dan komprehensif dan merangka kerjasama yang lebih bersepadu demi kebaikan bersama Malaysia dan Indonesia.

"Selain keakraban hubungan dua hala, Malaysia dan Indonesia perlu melihat kepada peranan yang boleh dimainkan dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat. Kedua-dua negara ini sering dilihat sebagai contoh negara membangun yang progresif di mata dunia,” kata beliau.

Justeru itu, katanya, kerjasama strategik berasaskan kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik antarabangsa, teknologi dan pendidikan perlu diperkukuhkan lagi.

Antaranya, meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat melalui pelbagai saluran; menyokong usaha-usaha melaksanakan sistem pemantauan tenaga kerja dari Indonesia dalam pelbagai sektor ekonomi Malaysia serta mewujudkan penyelarasan yang berkesan dalam memerangi isu-isu keselamatan bukan tradisional seperti pemerdagangan manusia, terrorisme dan perubahan iklim.

Dalam menjayakan aspirasi tersebut, katanya, media massa perlu memainkan peranan penting.

"Saya melihat betapa pentingnya peranan media dan para penganalisis memberikan laporan dan pandangan secara bertanggungjawab, seimbang dan berdasarkan fakta yang betul supaya tidak timbul kekeliruan dan rasa sangsi rakyat kedua-dua negara terhadap satu sama lain,” jelasnya.

Di kalangan negara ASEAN, Indonesia adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM55.95 bilion pada 2011, iaitu peningkatan sebanyak RM8.42 bilion atau 17.7 peratus daripada nilai bagi 2010 iaitu RM47.5 bilion.

Dari segi pelaburan pula, Malaysia merupakan pelabur keenam terbesar Indonesia dengan mencatatkan RM1.7 bilion pada 2011, manakala nilai pelaburan Indonesia di Malaysia dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan pada 2011 direkodkan sebanyak RM1.2 bilion.

Turut hadir pada kolokium itu ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Pengarah Eksekutif Centre for Strategic and International Studies (CSIS) Indonesia, Dr Rizal Sukma dan Ketua Eksekutif ISIS Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin. - BERNAMA ONLINE, 7 OKT 2012

0 comments: